BOGOTA: Wabak Covid-19 terus mencengkam negara Amerika Latin apabila virus maut itu kini sudah menjangkiti lebih dua juta orang pada Isnin, lapor agensi berita Anadolu.
Brazil mempunyai lebih sejuta kes dan mencatatkan lebih 51,000 kematian.
Mexico pula melaporkan lebih 4,700 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes kini melebihi 185,000 dan lebih 22,000 orang terkorban.
Di Mexico City, pasar, restoran dan perniagaan lain yang sepatutnya dijadual dibuka semula pada Isnin ditangguhkan apabila pihak berkuasa memutuskan melanjutkan sekatan pergerakan untuk tempoh seminggu lagi.
Pada Isnin juga menyaksikan Chile mengatasi Sepanyol dalam jumlah kes.
Dengan populasi 18 juta, jumlah yang dijangkiti virus di negara ini meningkat menjadi 246,963.
Sementara dengan jumlah populasi kira-kira 47 juta penduduk, Sepanyol melaporkan 246,504 kes, menurut data Johns Hopkins University.
Peru mencatatkan 2,511 kes baharu Covid-19, peningkatan perlahan dalam masa enam minggu.
Jumlah keseluruhan kes 257,447 dan seramai 8,223 pesakit meninggal dunia.
Peru negara kedua mecatatkan kes tertinggi di Amerika Latin selepas Brazil dan yang ketujuh di dunia.
Uruguay pula mencatatkan 37 lagi kes baharu di Treinta y Tres. Tiga hari lalu, negeri ini hanya mempunyai 12 kes aktif.
Presiden Luis Lacalle Pou mengumumkan sekolah di Treinta y Tres yang dibuka semula 1 Jun lalu akan ditangguhkan hingga 3 Julai.
Terdapat juga lima kes baharu di bandar Montevideo dan Canelones. Secara keseluruhan, Uruguay mencatatkan 882 kes dengan 25 kematian. – Bernama