SIBU: Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menjalankan aktiviti perkelahan musim cuti sekolah khususnya sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, orang ramai harus melaporkan kepada balai polis berhampiran sekiranya mahu melakukan aktiviti berkhemah atau beriadah di kawasan sungai atau lokasi rekreasi air yang bukan kawasan rekreasi awam.
“Orang ramai perlu tahu situasi cuaca semasa dan pastikan kawasan perkhemahan didirikan di tapak dan jarak selamat dari tepi sungai.
“Orang ramai juga perlu sedar kesan tanda-tanda kepala air, perubahan air seperti paras ketinggian, warna, kederasan dan keberadaan abu-abu asing yang timbul di permukaan air,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beliau diminta memberi nasihat kepada orang ramai berikutan musim hujan yang melanda pada masa kini, terutama di bahagian tengah Sarawak.
Andy turut memberi peringatan penduduk yang mendiami kawasan lereng serta kaki bukit dan kawasan yang sering terdedah kepada ancaman tanah runtuh atau banjir lumpur.
Katanya, penduduk perlu mengenalpasti tanda-tanda awal tanah runtuh seperti terdapat keretakan bahagian rumah seperti pagar, dinding, tiang atau pokok condong serta beralih tempat.
“Terdapat tanda hakisan atau rekahan pada cerun atau lereng bukit, air keluar melalui permukaan tanah, kebocoran atau paip air pecah, rekahan pada tanah atau asas rumah, bangunan, pokok tumbang menunjukkan akar tidak lagi mencengkam tanah dan muncul retakan atau pergerakan pada permukaan jalan raya.
“Sekiranya penduduk melihat tanda-tanda awal tersebut, sila lapor kepada pihak berkuasa dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca hujan lebat atau hujan berterusan melebihi dua jam.
“Penduduk juga perlu sentiasa membuat pemantauan cerun-cerun di kawasan rumah panjang dan kediaman.
“Jangan menghampiri lokasi tanah runtuh serta berpindah dengan segera sekiranya terjadi tanah runtuh,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN