LONDON: Penyerang Chelsea, Mykhailo Mudryk disahkan gagal dalam satu ujian doping, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Laporan turut memaklumkan yang pemain kebangsaan Ukraine itu sudah digantung sementara.
The Blues berkata, mereka dimaklumkan Persatuan Bolasepak (FA) berhubung ‘penemuan buruk’ dalam sampel air kencing yang disediakan oleh pemain sayap berusia 23 tahun itu.
“Kelab Bolasepak Chelsea boleh mengesahkan yang Persatuan Bolasepak baru-baru ini menghubungi pemain kami, Mykhailo Mudryk, berhubung penemuan buruk dalam ujian air kencing rutin,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Kelab dan Mykhailo sentiasa menyokong program ujian FA dan kesemua pemain kami, termasuk Mykhailo sentiasa diuji secara berkala.
“Mykhailo mengesahkan secara mutlak yang dia tidak pernah menggunakan barang terlarang. Mykhailo dan kelab kini akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan apa yang menyebabkan penemuan buruk itu.”
Mudryk turut mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Instagram miliknya.
“Saya boleh mengesahkan, saya sudah dimaklumkan yang sampel saya sediakan kepada FA mengandungi barang terlarang,” tulisnya.
“Ia begitu mengejutkan kerana saya tidak pernah menggunakan barang terlarang atau melanggar mana-mana peraturan dan saya bekerja rapat dengan pasukan saya untuk menyiasat bagaimana perkara ini boleh berlaku.
“Saya tahu, yang saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan kekal berharap saya akan kembali ke padang tidak lama lagi. Saya tidak boleh kata apa-apa sekarang ini kerana proses ini, tetapi saya akan (kembali ke padang) secepat mungkin.”
Atlet diberikan amaran di laman sesawang UK Anti-Doping (UKAD) yang mereka boleh berdepan penggantungan selama empat tahun sekiranya didapati terdapat barang terlarang diambil dengan sengaja. – AFP