KUCHING: Laporan berita mengenai rancangan kerajaan wilayah Yamanashi, Jepun menggunakan tram tanpa landasan berkuasa hidrogen untuk membawa pelancong ke Gunung Fuji, menjadi satu lagi petunjuk mengenai perhatian global yang semakin bertambah terhadap penggunaan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd Mazli Mustaffa berkata sebuah pasukan dari wilayah itu telah mengunjungi bandar raya ini beberapa bulan lepas untuk mendalami lebih lanjut projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
“Pasukan projek KUTS berjaya memberikan pandangan yang berharga kepada mereka dan saya percaya ini telah memberi inspirasi kepada keputusan kerajaan wilayah Yamanashi untuk mengkaji penggunaan ART.
“Dari satu segi, kami juga terharu mendengar mengenai perkembangan ini, kerana ia merupakan pengiktirafan terhadap usaha pasukan kami untuk mengubah sistem pengangkutan awam di Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazli berkata Sarawak Metro berharap dapat terus membantu pasukan wilayah Yamanashi dalam meningkatkan sistem ART mengikut keperluan spesifik mereka.
“Berita ini sememangnya memberi dorongan moral yang besar kepada pasukan projek KUTS, terutamanya apabila melihat prototaip kenderaan hidrogen ART kami dipaparkan semasa pengumuman itu dibuat di Jepun,” kata Mazli.
Beberapa media Jepun memetik Gabenor Yamanashi Kotaro Nagasaki pada akhir November bahawa wilayah itu merancang untuk menggunakan ‘tram tanpa landasan’ yang dikuasakan hidrogen untuk membawa pelancong ke kaki Gunung Fuji.
Media juga melaporkan pilihan ‘Fuji Tram’ ini dijangka dapat mengurangkan dengan ketara kos pembinaan serta membolehkan pihak berkuasa mengawal kesesakan yang merosakkan iklim semasa musim panas di gunung tertinggi di Jepun itu.
Nagasaki dilaporkan berkata tram berkuasa hidrogen itu dijangka mempunyai kapasiti sehingga 120 penumpang.
Beliau berkata walaupun sistem ART yang direka syarikat CRRC dari China sedang dipertimbangkan untuk perkhidmatan itu, keutamaan akan diberikan kepada syarikat-syarikat Jepun yang membina kenderaan hidrogen yang serupa.– BERNAMA