MADRID: Isak Andic, pengasas peruncit pakaian Sepanyol jenama Mango iaitu salah satu kumpulan fesyen terbesar di Eropah dengan hampir 2,800 kedai di seluruh dunia, meninggal dunia semalam, dalam satu kemalangan, umum syarikat itu.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez adalah antara individu yang pertama memberi penghormatan kepada ‘visi keusahawanan’ ahli perniagaan itu.
Walaupun syarikat itu tidak memberikan butiran lanjut, laporan media Sepanyol mengatakan Andic yang berusia 71 tahun meninggal selepas terjatuh ke dalam gaung ketika mendaki di kawasan pergunungan berhampiran Barcelona bersama beberapa ahli keluarganya.
“Dengan rasa kesedihan yang mendalam, kami mengumumkan kematian mengejut Isak Andic, pengerusi bukan eksekutif kami dan pengasas Mango,” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berpusat di Barcelona, Toni Ruiz, dalam satu kenyataan.
“Andic telah menjadi contoh bagi kami semua. Beliau mendedikasikan hidupnya untuk Mango, meninggalkan kesan yang tidak terhapus melalui visi strategiknya, kepimpinan yang menginspirasi, dan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap nilai-nilai yang beliau sendiri sematkan dalam syarikat kami,” tambahnya.
Sanchez dalam hantaran di laman sosial X rasminya berkata, Andic telah mengubah firma Sepanyol ini menjadi pemimpin dunia dalam fesyen dengan kerja hebat dan visi keusahawanannya.
Ketua kerajaan wilayah Catalonia, Salvador Illa, memuji Andic sebagai seorang ahli perniagaan berdedikasi yang kepimpinannya membantu menjadikan Catalonia hebat dan memperkenalkannya ke dunia.
“Dia meninggalkan kesan yang tidak terhapuskan dalam sektor fesyen Catalonia dan global,” menurut hantaran itu.
Usahawan yang jarang ditemubual itu adalah antara lelaki terkaya di Sepanyol.
Forbes menganggarkan beliau dan keluarganya mempunyai kekayaan bernilai AS$4.5 billion (RM20 billion).
– AFP