SIBU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga India yang dilaporkan terjatuh dari kapal pengorek pasir di Sungai Rajang, Jalan Stabau, di sini, masih belum menemui sebarang petunjuk.
Mangsa, Kumar Dinesh, 21, dipercayai terjatuh dari kapal pengorek pasir Winbuild 6 berhampiran kawasan operasi Syarikat Metagaya Sdn Bhd, semalam.
Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie, operasi SAR bermula pada jam 6.50 pagi tadi melibatkan Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu, dan agensi penyelamat lain.
“Operasi pencarian di permukaan air dilakukan menggunakan bot penyelamat dalam radius tiga kilometer dari lokasi kejadian.
“Tiga bot dari agensi lain turut dikerahkan untuk membantu pencarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga kini, usaha mencari mangsa masih giat dijalankan.