PUTRAJAYA: Program Jelajah Karnival KPDN 2024 berjaya mencapai nilai jualan melebihi RM6 juta merangkumi jualan usahawan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), Jualan Rahmah MADANI, Menu Rahmah dan trak makanan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataaan memaklumkan jumlah pengunjung pula mencatatkan hampir 300,000 orang yang hadir di kesemua zon iaitu Selatan (Melaka), Utara (Perlis), Tengah (Perak), Timur (Kelantan), Sabah dan Sarawak.
Menurut KPDN, kejayaan penganjuran karnival itu telah mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai jabatan dan agensi, syarikat berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta para pemegang taruh khususnya menerusi sambutan orang ramai.
“Justeru, inisiatif ini diharap mampu mengukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan para pengguna di negara ini membeli dan menggunakan produk, barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara agar lebih berdaya saing,” menurut kenyataan, di sini.
KPDN memaklumkan karnival itu juga sejajar dengan hasrat kementerian untuk menyemarakkan lagi aktiviti sektor pelancongan dan perdagangan domestik dalam kalangan masyarakat setempat.
Bertemakan “Kita Pengguna, Daya Negara,” penganjuran karnival itu selari dengan matlamat kementerian dalam menggerakkan agenda besar kepenggunaan yang responsif melalui pendekatan bersemuka secara terus kepada rakyat.
Menurut KPDN, objektif penganjuran karnival itu juga adalah untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan KPDN dan agensi kepada rakyat dalam meningkatkan kefahaman terhadap kefungsian kementerian seterusnya membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat.
Di samping itu, karnival itu merupakan inisiatif KPDN yang pertama kali dilaksanakan pada tahun ini dengan menggabungkan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan kementerian.
Antara pengisian program meliputi pameran daripada pelbagai bahagian dan agensi di KPDN serta kementerian dan agensi pembimbing usahawan, jualan dan pameran daripada usahawan tempatan bagi segmen KBBM, Jualan RAHMAH MADANI, segmen Menu RAHMAH dan trak makanan.
KPDN memaklumkan penganjuran karnival itu melabuhkan tirainya menerusi penganjuran terakhir di zon Selatan pada 6 hingga 8 Disember lepas.
Karnival di zon Selatan telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila Program Jualan Rahmah MADANI selama 40 jam tanpa henti mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai “Longest Non-stop Government Community Sale. – Bernama