KUCHING: Seramai 86 pengamal media menghadiri majlis makan malam apresiasi media Sarawak Energy di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Majlis bertemakan “Malam Media Santa” semalam bagi menghargai sokongan berterusan daripada rakan-rakan media dalam usaha syarikat itu membangunkan masa depan tenaga mampan untuk Sarawak dan rantau ini.
Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Siti Aisah Adenan berkata, majlis ini merupakan tanda penghargaan syarikat kepada media atas peranan menyampaikan mesej dan inisiatif secara objektif.
“Ketika tahun ini menghampiri penghujungnya dan musim perayaan semakin dekat, majlis malam ini diadakan sebagai tanda terima kasih kepada semua rakan media.
“Sokongan anda amat penting dalam membantu Sarawak Energy memajukan masa depan tenaga mampan, bukan sahaja untuk Sarawak, malah melangkaui sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa Sarawak Energy komited kepada amalan perniagaan yang telus dan mampan, dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, alam sekitar, pemeliharaan budaya dan warisan, serta pembangunan komuniti dan keusahawanan.
“Usaha-usaha ini bertujuan memberi kesan positif kepada komuniti tempatan serta alam sekitar, seterusnya menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan mampan,” katanya.
Pada majlis sama, Siti Aisah turut mengumumkan pelancaran laman Facebook baharu Sarawak Energy yang dikenali sebagai ‘Carina Sarawak Energy’ pada Isnin lalu.
Katanya, halaman itu menyediakan saluran yang mudah bagi pelanggan untuk membuat laporan, berkongsi maklum balas, dan mengemukakan pertanyaan di platform Facebook.
“Halaman ini melengkapi perkhidmatan sedia ada seperti aplikasi mudah alih SEB Cares.
“Perkhidmatan ini beroperasi dari Isnin hingga Jumaat pada 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Halaman Facebook ini diuruskan oleh pasukan khidmat pelanggan yang berdedikasi untuk memastikan maklum balas yang pantas dan cekap.
“Kami menggalakkan orang ramai untuk mengikuti halaman ini di ‘Carina Sarawak Energy’ di Facebook,” katanya.
Turut hadir, Naib Presiden Perkhidmatan Korporat Bersama, Sarawak Energy, Peing Tajang dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat yang Akan Datang, Sarawak Energy, Elaine Tan.
Oleh Mohd Neenatul Aizal & Shahrul Qaizat