LIMBANG: Seramai 54 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang yang berdepan masalah obesiti berjaya menurunkan berat badan melalui program Plogging Komuniti dan Amalan Gaya Hidup Sihat yang dilaksanakan sejak 11 November lepas.
Aktiviti plogging iaitu beriadah sambil mengutip sampah yang lazimnya dilaksanakan di Sweden.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata selain lelaki, seramai 27 pegawai dan anggota wanita yang berdepan masalah sama berjaya mengurangkan berat badan mereka serta mengekalkan jisim indeks tubuh (BMI) ideal.
Katanya, tugas polis yang mencabar memerlukan warganya yang mempunyai BMI yang ideal sejajar dengan arahan pucuk pimpinan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain menjaga kesihatan badan di tahap memuaskan.
“Untuk mengelakkan obesiti ini dengan inisiatif yang ada, kami melaksana program Plogging Komuniti dan Amalan Gaya Hidup Sihat bermula 11 November lepas dan berakhir 11 Disember ini dengan mencari juara dan pemenang yang berjaya mengurangkan berat badan mereka,” katanya kepada media pada Program Plogging Komuniti dan Amalan Gaya Hidup di Lapangan Rekreasi Limbang baru-baru ini.
Menurutnya program itu, merupakan inisiatif IPD Limbang untuk melahirkan warga polis yang sihat dan cergas dalam penugasan selain mengelak obesiti.
Pada masa sama katanya, program itu mampu membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan pegawai dan anggota.
Program dijalankan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Limbang bersama pengamal media di Limbang yang menyaksikan aktiviti gotong-royong diadakan di kawasan itu.
Oleh ADENG EDRUS