LAWAS: Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membekalkan perkhidmatan utiliti di Lawas perlu bekerjasama dengan lebih erat.
Menurut Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, kerjasama antara SESCO, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar(JBALB) Lawas dan syarikat telekomunikasi penting untuk mengurangkan kekecewaan rakyat terhadap kekerapan gangguan elektrik, air dan telekomunikasi.
“Saya sendiri dan Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah banyak menerima aduan dan rungutan rakyat tentang isu elektrik, air dan telekomunikasi walaupun kami telah mendapatkan peruntukan jutaan ringgit untuk membantu meningkatkan perkhidmatan ini.
“Jadi sekarang isunya ialah apabila bekalan elektrik terganggu maka akan berlaku gangguan lain seperti air dan telekomunikasi. Oleh itu kita minta SESCO untuk membantu menyediakan jentera sokongan kepada JBALB dan pihak telekomunikasi agar jentera mereka terus dapat berfungsi,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program Sejambak Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang semalam.
Henry Sum yakin melalui kerjasama ini mampu mengurangkan gangguan bekalan air dan telekomunikasi yang berpunca daripada gangguan bekalan elektrik.
Pada masa sama, penduduk juga dinasihat untuk tidak menanam pokok buah dibawah kabel elektrik dan mencantas mana-mana dahan pokok yang boleh menimbulkan gangguan bekalan elektrik.
“Kita di Lawas ini unik sikit kerana walaupun musim hujan tetap berlaku ‘kemarau bekalan air bersih’ dan ini juga menyebabkan kita kembali terasing dari dunia luar kerana tidak dapat berhubung menggunakan alat telekomunikasi yang serba moden,” tambahnya.
Oleh itu beliau mahu melalui kerjasama pihak SESCO Lawas dan agensi berkaitan akan dapat mengatasi isu ‘kemarau bekalan air’ , tekanan air rendah dan isu telekomunikasi.
Oleh ADENG EDRUS