KUCHING: Sarawak Energy terus memperluaskan saluran perkhidmatan pelanggannya dengan melancarkan laman Facebook baharu, Carina Sarawak Energy.
Inisiatif ini menampilkan avatar maya “Carina” bagi memudahkan pelanggan membuat aduan, memberikan maklum balas, dan mengemukakan pertanyaan melalui platform media sosial.
Menurut kenyataan media Sarawak Energy, pelancaran laman Facebook tersebut diadakan hari ini dan merupakan sebahagian usaha berterusan pihaknya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan.
“Carina Sarawak Energy melengkapi saluran sedia ada seperti aplikasi mudah alih “SEB cares”, dengan menawarkan pilihan alternatif untuk berhubung dengan orang awam.
“Laman ini juga akan menyediakan maklumat terkini mengenai perkhidmatan, tips penjimatan tenaga, keselamatan, dan inisiatif syarikat.
“Pelanggan kini boleh menikmati kemudahan ini yang beroperasi Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Dalam pada itu, laman Facebook ini diuruskan oleh pasukan perkhidmatan pelanggan bagi memastikan respons yang pantas dan cekap.
Katanya, bagi memudahkan penyelesaian isu, pengguna Facebook disarankan memberikan nombor telefon dan nombor akaun berdaftar Sarawak Energy melalui mesej peribadi, bersama keterangan masalah yang dihadapi.
Orang ramai dijemput untuk ‘like’ dan ‘follow’ laman Facebook Carina Sarawak Energy di www.facebook.com/CarinaSarawakEnergy untuk berhubung dengan pasukan perkhidmatan pelanggan.
Pelanggan juga boleh terus menggunakan aplikasi SEB cares, menghubungi talian hotline di 1300-88-3111, atau menghantar e-mel ke customercare@sarawakenergy.com untuk sebarang pertanyaan atau aduan.