BINTANGOR: Lima tapak Projek Mesra Rakyat (PMR) telah diserahkan kepada pihak kontraktor.
Lima tapak PMR tersebut adalah Jalan Yin Ho di Sungai Pilit/Meradong, Jalan Ling Kouk Fong, Jalan Ming Kwong di Sungai Bakong, Jalan Chieng Ngouk Lee di Jalan Sing Hua dan Jalan Soong Lee di Jalan Soon Ming.
Gung Chiu Kion selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii telah menyaksikan penyerahan tapak projek tersebut baru-baru ini.
Hadir sama untuk menyerahkan tapak – tapak PMR ialah pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), Siti Nursalmah dan Nurashikin.
Dalam pada itu, Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berharap agar pihak kontraktor yang terlibat dalam projek-projek tersebut dapat menyiapkan kerja mengikut jadual.
“Saya berharap pihak kontraktor akan menyiapkan projek-projek ini mengikut jadual dan tempoh masa yang ditetapkan.
“Ia bertujuan memberikan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan luar bandar.
“Oleh itu, saya juga berharap penduduk setempat memberi kerjasama agar kerja dapat dilakukan dengan lancar dan selamat,” katanya ketika dihubungi.
Oleh Earl Anek