KUCHING: Program Miss SHOPhia Shopping Hunt 6.0 dianjurkan dengan matlamat menyemarakkan aktiviti membeli-belah sempena kempen Malaysia Year End Sale (MYES) yang berlangsung dari 15 November 2024 hingga 1 Januari, tahun depan.
Pengarah Pejabat Penyeliaan Tourism Malaysia Sarawak, Nurul Ain Mohamed Yunus, berkata program ini adalah antara usaha pihaknya mempromosikan kempen tersebut, yang turut menjadi salah satu elemen penting dalam pelancongan domestik.
“Kempen ini bukan sahaja memberi kesedaran tentang peluang membeli-belah, tetapi secara tidak langsung menggalakkan pelancong domestik dari negeri lain untuk datang ke Sarawak, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program berkenaan di Star On Stage di sini, hari ini.
Menurut Nurul Ain, kempen ini melibatkan penyertaan pusat membeli-belah utama di Kuching dan Miri, selain turut mempromosikan produk tempatan seperti Kek Lapis Warisan gerai jualan kraf tangan.
“Kami ingin menekankan elemen tempatan dalam kempen ini, bukan hanya pada jenama antarabangsa, tetapi juga kraf dan produk budaya Sarawak.
“Melalui platform seperti ini, produk tempatan dapat diketengahkan ke peringkat nasional, sekali gus menyokong komuniti setempat,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program Miss SHOPhia Shopping Hunt yang kini memasuki siri keenam, berpotensi diperluaskan ke bandar lain di Sarawak pada masa depan bergantung kepada sambutan yang diterima.
Dalam usaha memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk Tourism Malaysia dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Nurul Ain menjelaskan bahawa sinergi antara agensi adalah penting dalam merancakkan pelancongan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa depan, kerana ia memberi manfaat kepada pelbagai pihak.
“Tourism Malaysia akan terus berusaha memperkasakan pelancongan tempatan sambil memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi utama di Malaysia,” katanya.
Program yang julung kali diadakan di Sarawak itu adalah anjuran Tourism Malaysia Sarawak dengan kerjasama Cats FM.
Sebanyak lima kumpulan melibatkan penyampai radio Cats FM, pengamal media dan pempengaruh tempatan terlibat.
Peserta program dipecahkan kepada lima kumpulan dan diberikan duit belanja berjumlah RM300 untuk digunakan dalam setiap tugasan yang melibatkan pembayaran.
Para peserta dikehendaki menyelesaikan tugasan yang diberikan di enam lokasi melibatkan kedai Kek Lapis Warian, pusat beli-belah Vivacity, Boulevard, The Spring, Plaza Merdeka dan India Street.
Setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan di semua titik semakan (check point) dengan membelanjakan duit yang diberikan dengan berhemah.
Pemenang membawa pulang hadiah bernilai RM2,000 (dibahagikan sesama peserta), selain saguhati berjumlah RM400 kepada setiap kumpulan.
Hadir sama Pengarah Pengurusan Kristal Harta Sdn Bhd (Cats FM) Mohd Iskandar Mohd Nawawi.
Oleh Shahrul Qaizat