KUCHING: Pasar tani yang berasaskan organik di pekarangan bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memberi manfaat kepada masyarakat di sekitar Kuching dengan pelbagai jualan produk berasaskan organik.
Pasar tani itu diadakan setiap Sabtu pada minggu pertama setiap bulan bagi membantu golongan petani dan penternak serta masyarakat setempat menjual dan membeli pelbagai produk dengan harga yang berpatutan.
Antara produk organik yang dijual termasuklah buah-buahan dan sayur-sayuran organik, pelbagai tanaman bunga, produk kecantikan berasaskan bahan organik dan sebagainya.
Meskipun baru menyertai pasar tani tersebut buat julung kalinya, salah seorang peniaga iaitu Mohd Khushiuddin mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelanggan yang hadir bagi membeli pelbagai jenis tanaman bunga daripadanya.
Lebih menariknya, penganjuran pasar tani itu juga diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng yang turut meluangkan waktu melawat setiap gerai dan membeli kuih jualan Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo.
Turut tidak melepaskan peluang untuk menjual produk organik ialah dua pasang suami isteri iaitu Lily atan bersama suaminya yang menjual roti sourdough dan biskut buatan tangan dan Gupie Saban serta suaminya yang menjual tuak dan pelbagai produk lain.
Oleh Rynna Sha’erra