LAWAS: Cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia adalah wajar supaya kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Menurut Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan Steve Lius, keputusan yang dibuat dianggotai sembilan ahli Parlimen itu, mahu kajian lebih mendalam dan terperinci perlu dibuat terlebih dahulu.
Steve malah melihat kepada keperluan penilaian semula penting dalam memastikan keselamatan pelatih yang terdiri daripada kalangan belia benar-benar terjamin.
“Sekarang banyak kes buli termasuk di institusi ketenteraan hingga menyebabkan kehilangan nyawa dan trauma di kalangan pelajar yang perlu diambil perhatian.
“Walaupun jaminan diberikan, tetapi budaya penderaan yang masih berlaku turut meresahkan ibubapa terlibat,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Pemantapan belia, ujar Steve, juga boleh dilaksanakan melalui program sukarelawan.
Antaranya, penyertaan belia dalam pertubuhan Pengakap, Bulan Sabit Merah dan lain-lain yang menyumbang kepada sifat jati diri.
Pada masa sama, katanya, anak-anak muda di Sarawak perlu diberi pendedahan kepada kemahiran industri dan ilmu berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ini, jelasnya, selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai status negeri dan negara maju menjelang 2030.
Oleh Adeng Edrus