SARIKEI: Majlis Khatam al-Quran melambangkan kejayaan para peserta dalam mendalami dan menghayati kitab suci al-Quran, kata Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Katanya, membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran adalah satu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam.
“Sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab menjadikan al-Quran sebagai pedoman dalam setiap aspek kehidupan kita iaitu dari akhlak, ibadah, hingga kepada urusan duniawi.
“Anak-anak yang dikasihi, kejayaan kalian khatam al-Quran pada hari ini adalah satu permulaan, bukan pengakhiran.
“Pastikan usaha ini diteruskan dengan memperbanyakkan pembacaan, mendalami tafsir dan mengamalkan ajaran-ajarannya,” katanya ketika berucap di Majlis Khatam al-Quran Perdana Sekolah Agama (MIS) Sarikei, hari ini.
Yusuf turut menasihatkan para peserta agar menjadi generasi yang mecintai al-Quran.
“Jadilah generasi yang mencintai al-Quran, kerana mereka yang berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW akan sentiasa berada di jalan yang lurus.
“Saya juga ingin menasihatkan kita semua, sebagai ibu bapa dan pemimpin masyarakat, bahawa tanggungjawab membimbing anak-anak kita mengenali al-Quran adalah amanah yang besar.
“Kita perlu memastikan generasi muda kita tidak hanya mahir membaca al-Quran, tetapi juga menjadikannya sebagai panduan hidup dalam membentuk jati diri yang kukuh, berakhlak mulia dan berjaya dunia akhirat,” katanya.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Bahagian Pengukuhan Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Malsiron Rogikin,Guru Besar SK Agama (MIS) Sarikei Jamaludin Sahari, Timbalan Sektor Perancangan Pejabat Pendidikan Sarikei Affendi Mohamad Amin, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Abdul Rahim Reduan, Temenggung Awangku Ibrahim Awang Hosain, Pemanca Awang Kenit dan Penghulu Mustafa Hamdan.
Oleh Earl Anek