SINGAPURA: Spesies baharu anggerik asli dan endemik di Singapura ditemui tahun lalu oleh penyelidik dari Kebun Bunga Singapura.
Lapor AFP, spesies Nervilia singaporensis, ditemui pada Julai 2019 di Hutan Simpanan Bukit Timah, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataan media semalam.
Genus Nervilia dianggap sudah pupus di Singapura selepas kali terakhir dilihat pada tahun 1889 sehingga ditemui baru-baru ini.
Singapura kini mempunyai lima spesies tumbuh-tumbuhan endemik dengan empat hanya boleh dilihat di hutan simpan.
“Nervilia singaporensis, yang boleh tumbuh setinggi sehingga sembilan sentimeter, dianggap sangat terancam di peringkat nasional dan sejagat kerana ia menghasilkan hanya sebilangan kecil biji lantas menyukarkannya untuk bertumbuh,” jelas NParks.
Sebelum penemuan Nervilia singaporensis, Singapura mempunyai empat spesies tanaman endemik yang terdiri daripada Singapore Ginger (Zingiber singapurense), Hanguana rubinea, Hanguana triangulata dan Splachnobryum temasekensis.-AFP