LINGGA: Sebanyak 10 unit Rumah Spektra Permata (RSP) telah dibina di Kampung Lingga yang bertujuan memenuhi keperluan perumahan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, RSP ini direka untuk memenuhi keperluan keluarga di kawasan luar bandar, dengan penekanan kepada keselesaan dan kemudahan hidup.
“Saya percaya kediaman ini bukan sahaja menjadi tempat tinggal, tetapi juga simbol kestabilan dan kesejahteraan untuk bakal pemilik rumah.
“Projek ini adalah komitmen Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk menyediakan kediaman berkualiti kepada rakyat, khususnya dalam kawasan luar bandar.
“Ia sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penyerahan kunci RSP Daerah Lingga di Dewan Tok Abang Ujang, Kampung Hulu Lingga di sini, hari ini.
Dayang Noorazah berkata, RSP merupakan inisiatif kerajaan Sarawak bagi membantu golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar melalui Skim Penempatan Semula (SPS) Jabatan Tanah dan Survei dan Skim Perluasan Kampung (SPK) untuk memiliki kediaman sendiri.
Sementara itu, sebanyak 233 unit RSP telah berjaya disiapkan dan sedia untuk dihuni, menunjukkan kemajuan HDC dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat.
“Selain itu, sebanyak 699 unit sedang dalam proses pembinaan, yang diharapkan dapat memenuhi permintaan perumahan dalam masa terdekat, dan sebanyak 365 unit lagi sedang dalam perancangan sebagai usaha berterusan untuk memastikan bekalan rumah yang mencukupi bagi keperluan masa depan.
“Keseluruhan perkembangan ini mencerminkan komitmen HDC untuk menyediakan perumahan berkualiti kepada masyarakat sejajar dengan misi dan visi HDC menyediakan dan membekalkan rumah mampu milik untuk rakyat,” katanya.
Projek RSP di SPK Lingga ini bermula pada 11 Mac 2020 dan berjaya disiapkan pada 25 Disember 2021 dengan kos keseluruhan adalah sebanyak RM1,613,295 dengan setiap unit rumah dijual pada harga yang sangat berpatutan iaitu RM90,000 sahaja.
Turut menghadiri majlis tersebut, Pegawai Khas Premier Sarawak Dato Helmi Hazmi, Pegawai Daerah Lingga Frank Lani, Pegawai Perhubungan Awam HDC Ali Omar Su’ut dan Penolong Jurutera Majlis Daerah Sri Aman Haizazi Mahdili.
Oleh Adi Safarman