ROBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri mengingatkan ibu bapa kepada pelajar agar sentiasa memantau gerak-geri anak.
Ini berikutan, katanya, banyak kes pelanggaran disiplin melibatkan golongan muda seperti dilihat dan dilaporkan di media bercetak dan elektronik.
“Pengaruh rakan sebaya sekarang telah menjadi kurang, tidak seperti dulu bila anak-anak masih bergaul dan main bersama tetapi ketika ini masa anak-anak kita 60 peratus dihabiskan dirumah dengan gajet yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Duri menyeru kepada sokongan ibu bapa dan guru bersama dalam memastikan anak-anak ini sentiasa tekun dalam menimba ilmu pengetahuan agar mampu merebut peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.
“Pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak demi pembangunan pendidikan terutamanya di Sarawak dan peluang yang terbuka luas kepada anak-anak Sarawak perlu bijak merebut peluang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Khatam Al-Quran Sekolah-Sekolah Zon Roban Tahun 2024/1445H di Sekolah Kebangsaan (SK) Lichok di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, terdapat banyak bahan dalam layar teknologi dunia yang mencabar sehingga boleh memesongkan akidah seseorang.
Mohamad Duri berkata, antaranya, teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Ia merupakan teknologi terkini yang dicipta oleh manusia tapi boleh membantu manusia menjadi terbaik atau sebaliknya.
“Ia boleh menjadi malapetaka yang dahsyat jika tidak dikawal selia terutama kita sebagai ibu bapa.
“Kita tidak dapat lari dari kemajuan teknolgi ini tetapi kita berupaya mengawalnya dengan adalah ilmu yang tinggi serta kebijaksanaan hukum agama sebagai aras imbang antara dunia dan kehidupan akhirat,” katanya.
Seramai sembilan orang pelajar dari empat sekolah dari Zon Roban telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran kali ini.
Tiga orang pelajar dari SK Lichok Roban, SJKC Chung Hua (3), SK Sungai Pasir (2) dan SK Brayang (1).
Oleh Adi Safarman