MARUDI: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil mengesa murid-murid Bumiputera yang bersekolah di sekolah aliran bahasa Cina supaya memanfaatkan bahasa Mandarin.
Katanya, keupayaan menguasai bahasa Mandarin memberi kelebihan kepada murid bukan Cina untuk melangkah ke alam pekerjaan dan membina kerjaya.
Bahasa Mandarin, ujarnya, memberikan nilai tambah kepada mereka yang bersekolah di sekolah aliran bahasa Cina.
“Maka itu saya mengesa murid-murid Bumiputera yang belajar di sekolah bahasa Cina supaya memafaatkan bahasa Mandarin.
“Ini bagi memudahkan mereka mencari pekerjaan di syarikat-syarikat milik Cina apabila keluar dari alam persekolahan kelak,” katanya.
Penguang berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Gelanggang Bola Keranjang Berbumbung dan Pentas SJK ( C ) Hua Nam Poyut / Lubok Nibong.
Jelasnya, kos pembinaan gelanggang bola keranjang berbumbung bernilai RM300,000 itu, hasil sumbangan Kementerian Pendidikan (KPM).
Sementara itu, pembinaan pentas di sekolah tersebut dengan kos RM60,000, merupakan sumbangan peribadi Penguang.
Sekolah tersebut mempunyai 45 orang murid iaitu 78 peratus daripada jumlah tersebut ialah Bumiputera Iban dan 12 guru.
Malah, katanya, kebanyakan sekolah Mubaligh juga menerima murid-murid beragama lain.
Penguang pada masa sama, mengesyorkan SJK Hua Nam memperbanyakkan promosi untuk menarik lebih ramai murid belajar di sekolah berkenaan.
Oleh Jiku Juguong