SEJINGKAT: Empat gerai jualan musnah dijilat api dalam kebakaran di Pasar Tani, Jalan Demak Laut Sejingkat di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.32 pagi.
Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dengan kekuatan seramai lapan orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi.
”Kebakaran melibatkan empat gerai jenis struktur tidak kekal yang telah terbakar 100 peratus.
”Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa dan operasi ditamatkan sepenuhnya setelah pasukan keluaran operasi memastikan keadaan kembali selamat.