MEXICO: Sekurang-kurangnya 215 mayat ditemui antara Januari hingga Mei lalu di sembilan kubur besar berhampiran Guadalajara di Jalisco, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.
Pendakwa raya negeri, Gerardo Octavio Solis, berkata dalam sidang media maya bahawa 215 mayat dijumpai di kubur besar di mana sebilangan besar identiti sudah dikenal pasti dan boleh dituntut oleh keluarga masing-masing.
Kebanyakkan kubur terletak di kawasan berpagar atau ladang terbiar di pekan Zapopan, Tlajomulco, Juanacatlan dan El Salto di mana kesemuanya berada di kawasan metropolitan Guadalajara.
Pendakwa raya negeri mengakui terdapat lima lagi kubur masih menunggu analisis kerana kekurangan kakitangan.
Jenayah terancang di Mexico kelihatan seolah-olah tidak terhenti walaupun perintah berkurung dikuatkuasakan akibat wabak pandemik COVID-19.
Pakar dan pembela hak asasi manusia mengaitkan insiden keganasan di negara itu dengan tindakan keras tentera yang kontroversi terhadap kegiatan jenayah terancang yang dilancarkan pada akhir 2006 oleh Felipe Calderon selaku presiden ketika itu.
Berdasarkan data rasmi, sejak dari itu lebih 287,000 pembunuhan berlaku di negara berkenaan walaupun tidak dapat dipastikan berapa banyak kes mempunyai kaitan dengan pertempuran akibat jenayah terancang. – AFP