AKUN GIMAN
MATU: Kerajaan Sarawak menerusi Pusat Khidmat Parlimen Igan menyantuni 620 golongan asnaf di seluruh perkampungan kawasan Matu dan Kampung Igan, semalam.
Ahmad Johnie berkata, bantuan tersebut untuk membantu meringankan beban golongan asnaf dalam menghadapi saat-saat sukar pada waktu ini.
“Proses penyerahan barangan dilaksanakan oleh Kakitangan Pusat Khidmat Igan dan dibantu oleh kakitangan Pejabat Daerah Matu,” jelasnya.
Katanya, sumbangan tersebut akan diserahkan melalui Penghulu dan Ketua Kaum untuk diagihkan kepada penduduk kawasan masing-masing, secara berperingkat-peringkat.
“Justeru itu, saya berharap agar bantuan ini dapat meringankan beban mereka terutama di pedalaman dan luar bandar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar bantuan bekalan makanan yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini dapat disalurkan dengan segera melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), seluruh Sarawak.
“Kepada sesiapa yang berkemampuan, sama-sama kita membantu golongan yang kurang berkemampuan semasa krisis penularan wabak Covid-19 yang getir ini,” ujarnya. Ahmad Johnie terus mengingatkan orang ramai agar mematuhi PKP bagi mengekang rantaian wabak Covid-19.