KUCHING: Sarawak dan Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) telah menandatangani perjanjian bagi menjalinkan kerjasama dalam melaksanakan dua projek baharu untuk terus menyokong pemuliharaan hutan dan pembangunan komuniti di negeri ini.
Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis pemeteraian perjanjian itu diadakan semasa Mesyuarat Majlis ITTO ke-60 di Yokohama, Jepun dengan Sarawak diwakili Pengarah Hutan negeri Datuk Hamden Mohammad manakala ITTO diwakili Pengarah Eksekutifnya, Sheam Satkuru.
Majlis itu disaksikan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Datuk Abdul Hadi Omar.
Hamden berkata kedua-dua projek merangkumi pengurusan Kawasan Pemuliharaan Orang Utan dan inisiatif peningkatan pendapatan komuniti di Sungai Menyang, Sri Aman serta Pemuliharaan dan Pembangunan Berasaskan Komuniti di Ulu Baram, Miri.
“Matlamat keseluruhan kedua-dua projek adalah untuk meningkatkan kehidupan komuniti tempatan melalui pembangunan pelancongan berasaskan komuniti, peningkatan infrastruktur dan inisiatif pembinaan kapasiti,” katanya.
Len Talif pula berkata skop kedua-dua projek akan diperluas untuk merangkumi aktiviti sosioekonomi melalui agroperhutanan seperti penanaman gaharu dan pertanian pintar yang memberi manfaat terus kepada komuniti tempatan dari segi meningkatkan pendapatan serta memperbaiki taraf hidup mereka.
— BERNAMA