MIRI: Laluan di Bulatan Telang Usan di sini sesak apabila sebuah lori membawa muatan batu-bata terbalik pagi tadi.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 11.30 itu turut menyebabkan pemandu lori berkenaan mengalami cedera ringan.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 11.30 pagi.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori dengan muatan bata telah tergelincir di bahu jalan.
“Pemandu lori tersebut mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa oleh ambulan KKM ke pusat rawatan terdekat untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya.
Beliau berkata pasukan bomba hanya bertindak membersihkan minyak di atas japan raya dan operasi berakhir 11.57 pagi.