SIMANGGANG: Bahang kehangatan Pesta Benak 2024 semakin terasa, dengan acara rasmi bermula esok.
Kebiasaannya bandar Simanggang bakal dibanjiri oleh ribuan masyarakat setempat mahupun dari luar. Ini menyebabkan hotel mahupun rumah tumpangan dan inap desa akan penuh ditempah.
Tetapi terdapat satu lagi kemeriahan sebenar dalam penganjuran Pesta Benak di Sungai Batang Lupar iaitu ‘langko’ atau pondok bermalam di tebingan Batang Lupar dekat Kampung Tengah dan Kampung Hilir.
Hari ini Utusan Sarawak sempat menyaksikan persiapan penduduk dari pelbagai kawasan seperti Ulu Skrang, Engkilili, Undop dan sekitarnya mula bertungkus lumus membuat persediaan menyiapkan pondok yang lebih dikenali dengan nama tempatan ‘langko’ tempat mereka tinggal sepanjang empat hari penganjuran Pesta Benak.
Bagi mereka yang selalu menyaksikan penganjuran Pesta Benak atau acara regata di sini, deretan langko yang dibina di sepanjang tebing Sungai Batang Lupar adalah kemeriahan sebenar.
Deretan langko yang boleh dilihat di sepanjang tebingan itu hanya diwujudkan sewaktu penganjuran Pesta Benak, pesta-pesta lain tiada.
Rata-rata mereka ini akan datang seawal empat hingga lima hari sebelum bermulanya pesta tersebut berlangsung untuk mendirikan langko yang akan digunakan sebagai kediaman sementara.
Ada yang datang menggunakan bot, ada yang datang menggunakan kereta dan juga ada yang menumpang kereta saudara atau rakan terdekat untuk tujuan tersebut.
Tinjauan sekitar tebingan Sungai Batang Lupar mendapati beberapa buah langko turut didirikan oleh penduduk yang tinggal di hulu dan hilir Batang Lupar.
Beberapa orang yang ditemui memberitahu mereka seronok berkumpul dengan rakan-rakan serta saudara mara sambil berbual-bual, berbincang dan menyaksikan acara lumba perahu.
Ada juga pemilik langko yang mengambil peluang menjual makanan dan minuman di hadapan langko mereka. Langko tersebut akan dirobohkan sebaik sahaja selesai semua acara sepanjang tempoh tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Tengah Sri Aman, Kiffle Morni berharap penduduk yang mendiami langko tersebut hendaklah menjaga kebersihan dan keselamatan sepanjang berlangsungnya Pesta Benak 2024 dilangsungkan.
Oleh ADI SAFARMAN