LOS ANGELES: Seorang lelaki dari Arizona, Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas dipercayai memuat naik video dalam talian yang mengancam untuk membunuh Presiden Terpilih Donald Trump dan keluarganya, lapor media tempatan, semalam.
Suspek, Manuel Tamayo-Torres ditahan pada Isnin berhampiran San Diego, tempat dia bercadang untuk berpindah dalam masa terdekat, menurut saluran berita ABC 7, lapor Xinhua.
Pertuduhan terhadap lelaki itu difailkan di Arizona.
ABC 7 yang memetik dokumen mahkamah melaporkan bahawa suspek memuat naik beberapa siri video di Facebook dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk satu video yang menunjukkan lelaki itu memegang senapang jenis AR-15 berwarna putih dengan kelopak peluru 30-butir dimasukkan ke dalamnya.
Dokumen mahkamah tidak secara langsung mengenal pasti Trump, tetapi merujuk beliau sebagai “Individu 1,” istilah yang lazim digunakan dalam dokumen mahkamah bagi merujuk kepada tokoh awam, bekas presiden dan presiden terpilih semasa.
Tamayo-Torres menghadapai pertuduhan jenayah berat kerana mengancam presiden terpilih selepas membuat beberapa ancaman terhadap Trump dan keluarganya, selain empat pertuduhan membuat kenyataan palsu semasa pembelian senjata api, menurut dokumen itu. – Bernama – Xinhua