KAPIT: Selain banjir, hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan beberapa kawasan di sini mengalami tanah susur.
Setakat jam 5.49 petang ini, terdapat empat kes tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan Kapit.
Kes pertama dilaporkan berlaku di Simpang Mamat,Danau Sebabu,Jln.Bukit Goram, Kapit.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 8.05 pagi.
“Sampai lokasi didapati berlaku tanah susur di belakang rumah pengadu.Terdapat tiga rumah yang terjejas akibat kejadian tersebut, namun tidak melibatkan mangsa dan tiada kerosakkan harta benda.
“Setelah pemeriksaan dijalankan, PKO telah memantau dan menjalankan pemerhatian di sekitar lokasi kejadian.Tanah susur tersebut terjadi akibat hujan lebat subuh pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara kejadian di Tatai Kenyalang, pihak bomba menerima panggilan pada 8.07 pagi.
“Komander operasi mengarahkan anggota lengkap menggunakan PPE membuat pemeriksaan di lokasi yang dilaporkan dan didapati tanah runtuh berlaku di bahagian dapur rumah pelapor dan menjejaskan dinding di bahagian dapur.
“Bahagian dapur tidak selamat digunakan. Sekiranya berlaku hujan berterusan, dikuatiri akan berlaku tanah runtuh seterusnya,” katanya.
Dalam kejadian ketiga, berlaku di Taman Bian Hua Kapit. Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.50 pagi.
“Sampai lokasi didapati berlaku tanah susur/runtuh di belakang rumah pengadu. Kejadian tersebut tiada melibatkan pemindahan mangsa ataupun kecederaan.
“Setelah pemeriksaan dijalankan, PKO telah memasang sawar-sawar pada lokasi kejadian dan menasihatkan penduduk kawasan terbabit supaya berhati-hati sekiranya hujan masih berlaku.
“Penduduk di situ juga telah diminta untuk memaklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Kapit bagi tindakkan selanjutnya,” katanya.
Dalam kejadian keempat, dilaporkan berlaku di Rumah (Rh) Ringgit, Nanga Sebilat, Jalan Bukit Goram Kapit.
Sepasukan anggota dari BBP Kapit bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 3.15 petang.
Sampai di lokasi kejadian didapati berlaku tanah susur di bahagian belakang rumah pengadu yang terletak di tebing sungai.
Kejadian tersebut tiada melibatkan pemindahan mangsa dan tiada laporan berlaku kerosakkan harta benda.
Setelah pemeriksaan dijalankan PKO telah memantau dan menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar kejadian.
PKO memasang sawar-sawar dan menasihati penduduk supaya waspada sekiranya berlaku hujan lebat.
Oleh AKUN GIMAN