KAPIT: Seorang wanita sarat hamil dan hendak melahirkan anak berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba selepas rumah panjang mereka Rumah (Rh) Engkeng, Sungai Amang, Jalan Selirik, terjejas akibat banjir, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 5.00 pagi.
“Sampai di lokasi, Size Up dijalankan dan didapati berlaku banjir di kawasan rumah panjang dengan paras air 3 meter dan 1 meter hampir dengan lantai rumah panjang.
“Komander Operasi mengarahkan anggota lengkap menggunakan ppe membuat pemeriksaan di lokasi yang dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, pasukan penyelamat telah menggunakan dua set tali untuk menyemberangi dari jambatan besi berhampiran ke rumah panjang tersebut.
“Pasukan bomba telah memindahkan seorang lelaki dewasa berumur 28 tahun dan dua perempuan dewasa (salah seorang perempuan dewasa sedang sarat mengandung dan hendak melahirkan anak) menggunakan perahu penduduk kampung,” jelasnya.
Katanya lagi, pasukan bomba telah menghubungi pihak Unit Kecemasan Hospital Kapit untuk mengambil perempuan mengandung tersebut, namun perempuan tersebut tidak dapat menahan untuk melahirkan dan telah dihantar oleh orang awam menggunakan van ke Unit Kecemasan Hospital Kapit.
“Perempuan tersebut berumur 26 tahun telah selamat melahirkan anak keenam pada 7.30 pagi tadi di Hospital Kapit,” katanya.
Oleh Akun Giman