MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri melakukan pemantauan kawasan berisiko banjir di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini berikutan berlaku hujan berterusan sejak malam tadi.
Antara kawasan yang dipantau ialah Pantai Luak, Pantai Tanjong Lobang, Marina dan Kampung Batu Satu.
Setakat ini, kawasan yang dipantau dalam keadaan terkawal dan trend air sungai dalam keadaan normal.
Malam tadi, hujan lebat yang berterusan sejak sekitar jam 7 malam telah menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang terjejas adalah di sekitar kawasan pusat bandar iaitu di Jalan Brooke, Jalan Miri-Bintulu, Taman Lopeng Jaya berhampiran Hospital Miri dan Jalan Tanjong Lobang.
Banjir kilat itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan ada kereta yang terkandas.