LAWAS: Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong memaklumkan berita gembira berhubung projek pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan memulakan kerja pembinaannya tahun depan.
“Saya sendiri telah bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung isu kelewatan pelaksanaan MRSM di Lawas semasa di parlimen minggu lepas.
“TPM kemudian memberi jaminan projek MRSM di Lawas akan mula dilaksana tahun depan, ” katanya ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Lawas, hari ini.
Henry Sum yang juga Ketua Parti PBB Cawangan Ba’kelalan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut menjelaskan bahawa semasa mesyuarat perwakilan Parti PBB Cawangan Ba’kelalan minggu lalu telah meletakkan sasaran melalui usul agar semua projek pembangunan yang telah lulus di Lawas dapat segera dilaksana.
Malahan beliau juga mahu ahli-ahli parti di akar umbi untuk terus bekerja dengan menyalurkan berbagai maklumat mengenai permasalahan rakyat di akar umbi.
“Memanglah kita di Parti PBB ini sentiasa bekerja sepanjang masa menyantuni rakyat yang telah memberikan kita mandat…jadi jika ada input daripada akar umbi tentang berbagai masalah rakyat boleh disalur terus ke pejabat di Pusat Khidmat Parlimen atau di Pusat Khidmat DUN Bukit Sari.
“Kita akan usaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah tersebut dan sekarang kita berdepan masalah gangguan bekalan elektrik yang tidak stabil, gangguan bekalan air dan telekomunikasi.
“Ini telah kita majukan kepada pihak agensi bertanggungjawab, ” ujarnya.
Pada masa sama, Henry Sum turut meminta penduduk kampung untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkenaan yang perlu menanam batang paip air ke kampung-kampung melalui tanah penduduk kampung.
Selain itu, penduduk juga perlu membantu agensi bertanggungjawab dengan membenar kontraktor memotong dahan dan batang pokok yang menjejaskan kabel elektrik.
Justeru, kerjasama semua amatlah diperlukan dalam usaha membawa pembangunan masuk ke kampung-kampung yang memerlukan kemudahan infrastruktur ini.
Oleh Adeng Edrus