BEIJING: Serpihan roket Long March-7 Y9 yang dilancarkan baru-baru ini dilaporkan kembali memasuki atmosfera Bumi pada Ahad sekitar 9.49 malam (waktu Beijing), dengan sebahagian besar serpihan terbakar semasa proses itu, menurut Agensi Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSA).
Dalam kenyataan ringkas, CMSA memaklumkan bahawa serpihan peringkat kedua roket jatuh ke perairan Lautan Atlantik pada koordinat 28.3 darjah utara dan 52.9 darjah barat, lapor Xinhua.
Roket itu dilancarkan pada 15 November dari Tapak Pelancaran Angkasa Wenchang di wilayah pulau Hainan, selatan China.
Long March-7 adalah roket generasi baharu bersaiz sederhana seberat 14 tan dan direka khusus untuk menghantar kargo dan berlabuh dengan stesen angkasa. – Bernama-Xinhua.