SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan Sarawak pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam usaha mempertahankan kedaulatan sumber dan wilayah Sarawak.
Pendirian tegas ini menolak segala tuduhan tidak berasas mengenai pengurusan sumber minyak dan gas negeri ini.
Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, berkata sejak penubuhan Malaysia, Sarawak telah memberikan sumbangan besar kepada negara, terutamanya melalui penghasilan minyak dan gas.
Namun, beliau menegaskan bahawa pulangan yang diterima oleh Sarawak jauh lebih rendah berbanding sumbangannya dalam aspek pembangunan dan manfaat ekonomi.
“Sejak pelaksanaan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) pada 1974 hingga 2014, sumber minyak dan gas Sarawak telah menjana lebih RM1 trilion untuk Petronas dan Kerajaan Persekutuan.
“Namun, Sarawak hanya menerima pulangan yang sangat rendah,” katanya pada program Mobile Service2U SUPP yang dianjurkan bersama SUPP Cawangan Dudong dan Sibu Jaya, hari ini.
Menurut Wong, kritikan terhadap tuntutan Sarawak hanyalah usaha untuk terus mengeksploitasi sumber negeri ini.
Beliau menegaskan bahawa hak Sarawak ke atas sumber luar pesisirnya adalah sah, berlandaskan sejarah, undang-undang, dan perlembagaan, serta tidak boleh dipindah milik atau dirundingkan.
Dalam penjelasannya, Wong merujuk kepada kenyataan Premier Sarawak yang menegaskan bahawa hak Sarawak ke atas pelantar benua adalah hak yang tidak boleh dipindah milik, seperti yang termaktub dalam Kanun Tanah 1958 dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, beliau turut menyentuh kenyataan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi yang mengingatkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa Sarawak menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran gas asli negara.
Namun, katanya, kebanyakan gas tersebut dieksport sebagai gas asli cecair (LNG), dengan hanya enam peratus diperuntukkan untuk industri tempatan, berbanding dengan Semenanjung Malaysia yang menyalurkan semua gas luar pesisirnya untuk keperluan domestik.
“Sarawak, melalui penubuhan Petros, syarikat minyak dan gas milik negeri, telah mengambil langkah untuk menguruskan sumbernya secara lebih adil. Namun, usaha ini telah menerima kritikan tidak berasas dari beberapa pihak di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Wong turut menyatakan bahawa tuntutan Sarawak terhadap sumber dan kedaulatan wilayahnya adalah sah, dan menolak tuduhan yang menganggapnya sebagai ancaman atau ugutan.
“Tuntutan Sarawak adalah penegasan sah terhadap hak kami,” kata Wong.
Kerajaan Sarawak, melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS), akan terus memperjuangkan pengagihan hasil sumber yang adil demi kesejahteraan rakyat Sarawak, tanpa mengeksploitasi sumber negeri untuk kepentingan pihak lain.
Sehubungan itu, Wong menggesa semua pihak di seluruh negara untuk menghormati hak Sarawak terhadap sumber dan kedaulatan wilayahnya, serta menghentikan tuduhan tidak berasas yang bertujuan mencemarkan imej Sarawak.
Oleh TARANI LANTING