- Kempen Amal Krismas 2024 anjuran Ruang Seni Artavern
KUCHING: Kempen Amal Krismas 2024 anjuran Ruang Seni Artavern bertujuan membantu dua sekolah melalui seni lukisan unik yang menggunakan kopi sebagai bahan utama.
Pelukis terkenal Sarawak, Gerald Goh berkata, program ini sebagai satu usaha yang bukan sahaja menggalakkan kebajikan, tetapi juga memupuk minat orang ramai terhadap seni.
“Saya rasa ini memang satu program yang bagus. Selain daripada buat kebajikan, program ini juga mendidik orang ramai untuk menghargai seni.
“Kali ini berbeza dan unik kerana kita menggunakan kopi, sesuatu yang kita minum setiap hari, sebagai bahan untuk melukis.
“Aromanya juga membantu mengurangkan tekanan, menjadikan seni ini pengalaman yang menenangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Utusan Sarawak ketika kempen tersebut di sini, hari ini.
Dalam pada itu, aktiviti tersebut turut disertai oleh Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo.
Menurut Gerald, yuran penyertaan sebanyak RM120 akan didermakan sepenuhnya kepada dua sekolah yang memerlukan bantuan.
Katanya, program ini akan diakhiri dengan acara lelongan pada 14 Disember depan, yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting, dengan hasil seni peserta dilelong untuk meningkatkan kutipan dana.
“Melalui acara ini, kita bukan sahaja mengumpul dana tetapi juga memberi peluang kepada mereka yang berbakat untuk menyumbang kepada masyarakat.
“Saya harap program seperti ini dapat diadakan bukan sahaja sempena Krismas tetapi juga pada perayaan lain di masa depan,” katanya.
Semua hasil kutipan akan disumbangkan kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti dan Persatuan Pendidikan D’Wira Kuching.
Oleh Mohd Neenatul Aizal