KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah memanggil lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu untuk dirakam percakapan, berhubung dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di Sabah.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan projek itu.
“Siasatan awal berhubung aduan berkenaan telah membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah yang disyaki terlibat isu dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan berkenaan.
“Setakat ini, lima orang ADUN telah dipanggil untuk dirakam percakapan dan siasatan masih giat dijalankan,” menurut kenyataan itu.
SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan telus dan menyeluruh.
Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.
Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan berkenaan yang meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu apabila lesen untuk projek berkenaan telah dibatalkan, bagaimanapun wajah ahli perniagaan wajahnya tidak kelihatan
— BERNAMA