AKUN GIMAN
BINTANGOR: Semua penduduk di kawasan Daerah Meradong diminta supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini bagi mengekalkan daerah tersebut terus berada dalam kategori Zon Hijau bebas dari wabak Covid-19.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Sekam Anoi berpuas hati dengan tahap pematuhan sebanyak 99 peratus penduduk di kawasan terbabit sepanjang pelaksanaan PKP. “Tahap pematuhan penduduk dalam ini terhadap usaha dan arahan kerajaan menangani penyakit merbahaya adalah tinggi.
“Ini adalah hasil berkat kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi penguatkuasaan Majlis Daerah Meradong Julau, Ikatan Relawan Malaysia (RELA)dan Pejabat Daerah Meradong telah berusaha keras dalam memberikan penerangan dan kesedaran berkaitan PKP,” jelasnya ketika dihubungi petang semalam.
Katanya, kawalan ketat diadakan di laluan masuk dan keluar utama dari daerah Meradong melalui Sekatan Jalan Raya (SJR). “Saya meminta orang ramai supaya terus mematuhi PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.
Kegagalan mematuhi PKP boleh mengundang masalah kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya,” ujarnya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang mana belum diketahui kesahihannya.
“Rujuk dengan agensi yang berkenaan terlebih dahulu untuk mendapatkan kesahihan sesebuah berita. Jaga keselamatan serta kesihatan diri dan keluarga,” tegasnya. Pada 1 April, Sarawak telah mencatatkan jumlah harian tertinggi positif Covid-19 apabila 32 disahkan dijangkiti wabak itu.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengesahkan Kuching sebagai zon merah Covid19 selepas 118 kes positif direkodkan di bandar raya tersebut.Sebanyak 13 kawasan lagi dikategorikan sebagai zon jingga apabila merekodkan antara satu hingga 40 kes positif.
Zon jingga di Sarawak itu ialah Kota Samarahan yang mencatatkan 20 kes positif, Miri (11), Betong (9), Sarikei dan Limbang masing-masing (6), Bintulu (5) manakala Serian dan Sibu masing-masing (4).
Lima lagi kawasan iaitu Simunjan, Sri Aman, Mukah, Matu dan Lawas pula masing-masing mencatatkan satu kes. Sebanyak 26 kawasan lagi dikategorikan zon hijau apabila disahkan bebas dari wabak berkenaan iaitu Bau, Lundu, Asajaya, Saratok, Pusa, Kabong, Maradong, Julau, Pakan, Kanowit, Selangau, Tatau, Sebauh, Dalat, Daro, Tanjung Manis, Marudi, Subis, Beluru, Telang Usan, Kapit,Belaga, Song, Bukit Mabong, Lubok Antu dan Tebedu.