KUALA LUMPUR: Sejak beraksi solo di pentas Istana Budaya tiga tahun lepas, Misha Omar akan kembali menemui peminatnya dalam Misha Omar Back To Basic Showcase di Odeum At Jiospace, Petaling Jaya, pada 21 Disember ini.
Pemilik nama sebenar Samihah @ Aisah Omar, 42, berkata, walaupun bukan dalam skala yang besar tetapi ia cukup istimewa sebagai tanda penghargaan buat peminatnya yang setia memberi sokongan sepanjang dua dekad karier seninya.
“Mengapa berskala kecil bukan sebuah konsert mega adalah kerana saya suka untuk memulakan sesuatu dengan langkah kecil sebelum mencipta sejarah yang lebih besar.
“Showcase ini juga saya adakan khas buat peminat yang sentiasa bertanya mengenai bila saya akan menghiburkan mereka secara langsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anak seni kelahiran Kelantan ini menambah, konsert berkenaan akan menjadi ‘pemanas’ kepada sebuah konsert berskala besar yang menjadi impian emasnya pada waktu mendatang.
“Ironinya, saya sendiri seorang penyanyi yang juga tidak mementingkan soal sudah lama dalam industri maka perlu bikin konsert tapi lebih memilih melakukan kerja secara berperingkat. Mana tahu bermula dengan showcase yang berskala kecil ini menjadi ‘pintu’ menuju konsert mega pada masa akan datang? Kita doa bersama.
“Sebagai penghibur yang sudah dua dekad berada dalam belantika (dunia) muzik malah masih mampu kekal relevan, bohong jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Misha berkata showcase berdurasi 90 minit itu akan membawa penonton kembali kepada asasnya sebagai seorang penyanyi dalam industri muzik selari dengan pemilihan nama Misha Omar Back To Basic Showcase.
“Saya akan membawa peminat pulang ke saat seorang Misha Omar baru mahu mencetak nama sebagai penyanyi selepas pertama kali mengikat kontrak bersama syarikat rakaman besar pada 2002.
“Bagaimana saya sangat menghargai momen menyanyi di pentas kecil seperti Planet Hollywood dan menyanyikan lagu-lagu milik penghibur lain yang memberi saya kepercayaan dan inspirasi untuk terus berkarya.
Showcase anjuran Double M Productions itu akan mendapatkan khidmat Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal, Jennifer Thompson (pengarah), Simon Khoo (pengarah teknikal) dan Ayop Azril sebagai pengarah muzik bersama sembilan pemuzik di bawah pimpinannya.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket dengan harga RM288, RM338, RM388 dan RM488 di platform JIOTIX di laman sesawang https://www.jiotix.asia/ bermula 27 November ini, 10.00 pagi. – Bernama