KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) berjaya merancang 91 inisiatif dan mengatur perbelanjaan sejumlah RM13 Billion dalam 100 hari pentadbiran di bawah Kerajaan Pakatan Nasional (PN).
Menterinya, Datuk Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, demikian dalam catatan di Facebooknya sempena 100 hari genap beliau menjawat jawatan tersebut pada Rabu.
“100 hari yang getir, 17 Jun 2020 genap 100 hari saya sebagai Menteri di MEDAC dan saya berjanji akan terus berusaha memastikan segala perancangan yang dirancang akan terus dinikmati oleh usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Micro yang terjejas akibat bencana Covid-19,” katanya.
Ujarnya, semua usaha tersebut berjaya dilaksanakan dengan bantuan kepimpinan kanan MEDAC yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Dato’ Sri Mohammed serta dibantu oleh dua orang Timbalan Ketua Setiausaha disamping barisan pegawai di MEDAC.
“Suatu yang luar biasa, pasukan kementerian yang baru dibentuk ini berjaya melaksanakan pelbagai pelan rangsangan ekonomi dalam membantu usahawan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.
“Hari ini juga julung kali saya mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet di Kementerian ini yang dihadiri semua wakil Bahagian dan Jabatan di MEDAC.
“Untuk makluman semua, sejak diawal perlantikan saya sebagai Menteri MEDAC dan tidak lama selepas itu negara kita di landa wabak Covid-19, maka saya hanya membenarkan ‘Top 6’ (bersama Timbalan Menteri dan enam orang pegawai kanan atasan MEDAC) sahaja yang hadir bermesyuarat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri,” jelasnya.
Beliau berkata ia bukan mudah bagi sebuah kerajaan yang baru dibentuk untuk muncul dengan pelan pembangunan ekonomi keusahawanan yang mampan dan mampu menyuntik kelegaan bagi sebahagian usahawan yang menerima impak terus dari bencana wabak Covid-19.
“Kita perlu pastikan ekonomi negara terus mengalami pertumbuhan memberangsangkan biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran,” tambahnya.
Oleh Zarina Abdullah