SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) kini sedang mempertimbangkan cadangan menutup laluan pintasan di Jalan Lada yang sering menjadi lokasi kerap berlaku kemalangan.
Timbalan Pengerusi MPS Izkandar Roseley berkata, langkah ini dijangka dapat mengurangkan risiko kemalangan di kawasan terbabit.
Menurutnya, pemasangan lampu isyarat di selekoh berkenaan juga dilihat tidak sesuai kerana faktor reka bentuk jalan.
“Kajian awal mendapati kebanyakan kemalangan di lokasi tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu.
“Kami sedang mempertimbangkan cadangan untuk menutup selekoh ini dan mencadangkan supaya pengguna jalan raya membuat pusingan U di lampu isyarat berhampiran sebagai laluan alternatif,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa MPS sedang merancang beberapa projek penambahbaikan jalan di sekitar Sibu.
“Antara projek tersebut ialah di Jalan Dr Wong Soon Kai, Jalan Wong King Huo serta Jalan Aman, tertakluk kepada kelulusan dana,” ujarnya.
Katanya, pembesaran Jalan Dr Wong Soon Kai ke arah lampu isyarat di Deshon dijangka akan dilaksanakan tahun hadapan, dengan kerja ukur tanah sedang berjalan dan tender dijangka dibuka pada Januari 2025.
“Selain itu, MPS kini sedang memberi tumpuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di bawah inisiatif Bandar Pintar di kawasan pusat bandar (CBD).
“Ini kerana kebanyakan CCTV sedia ada sudah uzur dan tidak lagi berfungsi,” kata beliau.
Tambahnya, MPS juga merancang untuk memperluaskan pemasangan CCTV ke jalan-jalan utama di bawah kawalannya selepas itu. “Semua langkah ini adalah sebahagian daripada usaha MPS dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan meningkatkan kualiti infrastruktur di Sibu,” ujar beliau
Oleh Akun Giman