KUCHING: Pihak berkuasa perlu melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan yang ketat terhadap kerja-kerja pembinaan projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan, Baru Bian.
Beliau berkata ini penting bagi memastikan kontraktor yang dilantik mematuhi keperluan piawaian pembinaan yang tinggi terutama dari segi keselamatan.
“Ini akan menjadi jalan raya pertama ke kawasan pedalaman selepas penantian sekian lama oleh penduduk kampung dan ia mestilah dibina dengan sempurna bagi mengelakkan kejadian jalan raya runtuh sebagaimana yang sering berlaku di Sarawak,” katanya semasa sesi perbahasan belanjawan negeri 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Pada 4 Nov lepas, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata fasa pertama projek SSLR yang meliputi laluan dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng di Sarawak telah mencapai 38 peratus pelaksanaan setakat September 2024.
Projek tersebut yang bermula di Kampung Gelugus di Lawas dan melibatkan jarak 77 kilometer (km) ke Persimpangan Long Lopeng, dijangka siap menjelang November 2026.
Ahmad Maslan juga menyatakan bahawa Surat Setuju Terima (SST) bagi fasa kedua projek SSLR telah dikeluarkan pada Mac lepas.
Baru berkata pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan fasa pertama SSLR memberikan pengalaman pembelajaran amat berharga bagi persediaan lebih baik dalam pelaksanaan fasa kedua SSLR.
“Penyeliaan yang ketat fasa kedua SSLR adalah amat penting kerana fasa ini melibatkan kawasan lebih sukar yang berbukit dan curam di beberapa bahagian.
“Asas yang kukuh dan memperkuatkan struktur mesti dilakukan. Sebarang bentuk kompromi terhadap bahan, proses dan pembinaan mesti dipersoal serta dikenakan hukuman,” katanya.– BERNAMA