KUALA LUMPUR: Baru sahaja menjayakan konsert solonya bulan lepas, penyanyi bersuara lantang Jaclyn Victor kini bersedia untuk memukau penonton di konsert CIMB 100 Years and More Kita Bagi Jadi bersama-sama dengan 10 lagi artis terkemuka tanah air pada 24 Nov ini.
Pemilik nama sebenar Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu berkata persembahan kali ini sangat istimewa kerana bakal diiringi oleh bakat-bakat muda dari Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO).
Menurut juara Malaysian Idol musim pertama ini, membuat persembahan bersama-sama orkestra mempunyai kesukaran berbeza berbanding dengan iringan pemuzik biasa, sekali gus mencabar kemampuan seseorang penyanyi.
“Bila buat persembahan dengan orkestra, kita perlu kawal banyak perkara kerana setiap (helaan) nafas boleh didengari, selain perlu banyak jaga tempo kerana kadangkala (bila) tidak ada bunyi dram pun kita kena jaga tempo.
“Kalau jantung tengah (berdegup) laju, pasti setiap gugup, gagap pun boleh dengar. Ada dua tekanan berbeza (bila) buat konsert solo dan beramai-ramai, tetapi pada masa sama teruja kerana tidak selalu dapat peluang menyanyi dengan orkestra, apatah lagi youth (MPYO),” katanya, selepas Taklimat Media CIMB 100 Years and More Kita Bagi Jadi Konsert, di sini.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkata walaupun agak mencabar, sebagai seorang penyanyi beliau perlu sentiasa bersedia menempuh halangan agar tidak terlampau asyik di dalam zon selesa.
Kongsinya lagi, biarpun lagu hitnya Gemilang sering dibawakan ke pentas, pasti akan ada kelainan pada setiap persembahan.
“Walaupun dah nyanyi lagu Gemilang banyak kali, susunan (muzik) boleh berbeza, tenaga juga lain apabila (menyanyi) dengan orkestra. Jadi, kita kena dengar banyak kali susunan dan hafal aliran muzik,” katanya.
Konduktor MPYO Ahmad Muriz Che Rose berkata acara yang bakal menampilkan bakat muda berumur lapan hingga 28 tahun itu sememangnya memberi satu kelainan daripada konsert yang pernah dikendalikannya.
“Biasa setiap kali konsert, kami akan diberi lagu dan kita akan mainkannya, tetapi kali ini kita kena besarkan gubahan muzik supaya ikut jalan penceritaan (dan) itulah cabaran dan menjadikannya lebih menarik. Kalau tidak, (persembahan itu) hanyalah sebuah konsert, sekadar main muzik, orang datang dan bergembira,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penjenamaan dan Pemasaran Kumpulan CIMB Toni Darusman berkata acara tersebut akan berlangsung di Dewan Plenary, KLCC selama 100 minit, melibatkan 100 bakat muda dan legenda tanah air, termasuk Datuk Zainal Abidin, Azlan Typewriter, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah.
“Acara ini sangat istimewa, jadi kami tidak jual tiket sebaliknya melalui undangan. Kami adakan pertandingan di media sosial CIMB Malaysia dan menghadiahkan tiket kepada 100 pemenang bertuah. Kami akan jemput lebih 2,000 tetamu untuk menyaksikan persembahan ini,” katanya.
— BERNAMA