KUCHING: Belanjawan Sarawak 2025 yang dibentangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Rakyat semalam disifatkan sebagai bajet yang komprehensif.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan, Dato Sim Kiang Chiok berkata, bajet yang dibentangkan itu mencerminkan kebijaksanaan kerajaan Sarawak dalam menguruskan perbelanjaan negeri yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan tahunan Sarawak.
Menyentuh berhubung inisiatif perumahan, Sim memuji keputusan kerajaan Sarawak untuk mengekalkan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) yang akan membantu lebih ramai rakyat Sarawak mendapat kediaman sendiri.
“Walaupun jumlah bantuan kekal iaitu RM41 juta, skim itu menawarkan RM10,000 untuk membantu pembeli pertama dari golongan B40 dan M40 dengan deposit perumahan atau pembayaran balik pinjaman.
“Selain itu, tambahan RM50 juta telah diperuntukkan untuk subsidi perumahan pada 2025 untuk menyokong pemilikan rumah dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, inisiatif pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada rakyat Sarawak mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, inisiatif ini akan mengurangkan serba sedikit beban rakyat dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 850,000 orang di negeri ini.
Selain itu, beliau turut memuji inisiatif pemberian wang saku kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi yang akan menerima elaun wang saku tahunan sebanyak RM1,200.
“Dalam pada itu, dengan jangkaan kenaikan kos berikutan pengurangan subsidi petrol dan gaji minimum yang lebih tinggi tahun depan, Belanjawan Negeri 2025 bertujuan untuk meringankan kos sara hidup melalui penciptaan pekerjaan, peluang perniagaan dan bantuan tunai yang disasarkan,” ujarnya.
Semalam, Abang Johari mengumumkan sejumlah RM15.8 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2025.
Belanjawan Negeri Sarawak 2025 denga tema ‘Bersama Membina Masa Depan Sejahtera’ itu adalah yang terbesar dalam sejarah Sarawak.