KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menyampaikan kenyataan negara di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara -Islam di Riyadh, Arab Saudi, hari ini, Anwar mengulangi bahawa tindakan Israel telah melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan dengan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
Beliau berkata tindakan keganasan rejim Zionis berterusan terhadap sebuah bangsa secara keseluruhan memaksa komuniti antarabangsa tiada pilihan selain menuntut tindakan pantas dan berkesan termasuk embargo, penggantungan dan bahkan pengusiran dari PBB.
“Komuniti antarabangsa mesti bertindak pantas dan tegas. Sebagai langkah segera, kita mesti mendesak seperti yang dilakukan Malaysia pada Perhimpunan Agung PBB pada September lepas untuk mengenakan embargo senjata segera terhadap Israel.
“Demi kepentingan bukan sahaja rakyat Palestin tetapi juga kemanusiaan secara keseluruhan, kita harus menghukum dan menghalang pencabulan berulang Israel terhadap undang-undang dan norma antarabangsa. Oleh itu kita perlu membina kesepakatan ke arah menggantung atau menyingkirkan Israel daripada PBB,” katanya.
Anwar berkata Israel tidak lagi layak berada dalam komuniti negara-negara bertamadun dan kebiadabaannya menuntut tindakan tegas untuk melindungi bukan sahaja Asia Barat tetapi juga keseluruhan sistem global.
Beliau berkata Israel kini telah menyerang pusat talian hayat masyarakat antarabangsa untuk Palestin dengan menyasarkan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin ((UNRWA).
“Dengan menghalang UNRWA daripada beroperasi, Israel menyebabkan kemusnahan tindak balas kemanusiaan dunia, memutuskan cara paling asas untuk kelangsungan hidup di Gaza bagi mereka yang telah kehilangan begitu banyak.
“Kita mesti menghentikan pembunuhan kejam yang berterusan ini dan mengambil langkah segera untuk memberikan perlindungan yang lebih berkesan kepada UNRWA.
.“Begitu juga, kita mesti memberi perlindungan yang lebih baik kepada pasukan pengaman PBB di Lubnan yang terdiri daripada hampir 50 negara termasuk Malaysia yang mana turut menjadi sasaran serangan ganas oleh tentera Israel,” katanya.
Anwar memberi amaran bahawa jika dunia gagal bertindak, keganasan ini tidak akan terhad di kawasan tertentu, sebaliknya, ia akan mencetuskan api yang boleh merebak, membahayakan seluruh kawasan dan lebih jauh lagi kerana jejak kekejaman Israel telah pun merebak ke Lubnan, Yemen, Syria, Iraq dan Iran.
Perdana Menteri mengakui di sebalik cabaran besar yang dihadapi oleh dunia Islam dan Ummah, terdapat usaha yang patut dipuji dan berterusan untuk mencari penyelesaian bagi mengakhiri keganasan, kemusnahan dan penderitaan rakyat Palestin.
Beliau juga menekankan bahawa akhirnya, mangsa adalah keutamaan utama dan usaha untuk membantu membina semula Gaza daripada kemusnahan perlu dipergiatkan dan dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan.
“Kita mesti meletakkan satu garisan, bukan hanya sebagai umat Islam tetapi sebagai sesama manusia, bersatu dan berpegang kepada satu kebenaran yang mudah, harapan untuk dunia yang lebih selamat dan lebih penyayang untuk anak-anak kita dan generasi yang akan datang,” kata Perdana Menteri.
— BERNAMA