BAU: Sepasang suami isteri dan seorang lagi pemandu cedera setelah kereta mereka bertembung di Jalan Batu Kawa-Bau, Simpang Tondong, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden pada 11.37 malam sebelum menggerakkan sepasukan anggota dengan kekuatan enam orang ke lokasi.
”Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Proton Saga dan Perodua Bezza.
”Sepasang suami isteri di dalam kereta Proton Saga mengalami kecederaan ringan dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
”Sementara itu, pemandu kereta Perodua Bezza mengalami kecederaan patah tangan kiri dan patah kaki kiri masih berada di dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap di dalam kereta manakala penyelia pasukan kemudian mengarahkan anggota untuk memberi rawatan awal.
”Setelah selesai menstabilkan mangsa dan berjaya dikeluarkan, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” tambahnya.