GEDONG: Kerajaan Sarawak akan mengheret sesiapa sahaja yang cuba menentang perjuangan negeri ini dalam menuntut haknya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata segala tuntutan yang diperjuangkan Sarawak adalah berlandaskan kepada segala yang termaktub dalam MA63.
“Ada saya lihat di TikTok, menyatakan kalau Sarawak ada aggregator, Sarawak akan mengambil RM100 bilion. Ini adalah hasutan, memang betul kita mahu jadi aggregator gas, tetapi tidaklah sehingga RM100 bilion.
“Saya tahu apa yang saya lakukan, kerana ini adalah hak kita, aggregator adalah hak kita. Siapa yang tidak hormat (kepada hak Sarawak), naik ke mahkamah pun saya berani, kerana ini adalah hak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Perhimpunan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut meluluskan permintaan daripada Ketua Pemuda PBB, Miro Simuh dan Timbalan Ketua Pemuda, Datuk Lukanisman Awang Sauni yang memohon pembinaan trek permotoran.
Abang Johari merancang agar satu trek permotoran untuk dibina di kawasan Isthmus Gedong, manakala satu lagi di kawasan Parlimen Sibuti.
“Di Isthmus bina trek ini kerana Isthmus tersebut baru nak membangun sebab dah ada jambatan.
“Di Isthmus ini juga ada stadium, jadi mungkin stadium itu nanti boleh dimasukkan trek di dalamnya, jadi orang Kuching yang nak main motosikal, datanglah ke Gedong.
“Untuk kawasan di Sibuti, kita carilah tempatnya, kerana Niah sudah diiktiraf sebagai Tapak Warisan UNESCO, jadi kita mahu bangunkan kawasan ini,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan NOOR IKMAL