PETRA JAYA: Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail semalam mempengerusikan mesyuarat berkenaan penggunaan tenaga solar dalam kegiatan pertanian.
Mesyuarat itu diadakan di Bangunan Baitul Makmur, di sini yang turut dihadiri
Ketua Saintis dan Ketua Penasihat Ekonomi Digital Kerajaan Sarawak, Jugdutt Singh, Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Magerate Nanyang Senin dan ALP RAL merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Rambungan Aqua Life Sdn Bhd (RAL), Sim Ing Jye.
Perbincangan melibatkan cadangan penggunaan tenaga solar bagi penjanaan bekalan elektrik serta pembangunan benih kultur rumpai laut.
Turut dibincang sistem akuakultur kitar semula untuk menghasilkan sistem mesra alam bagi Projek Ternakan Udang RAL di Kawasan Perindustrian Akuakultur Zon Rambungan Loba Stoh.