KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum penyusutan untuk ditutup rendah berbanding dolar AS pada Khamis, dipengaruhi oleh penurunan rizab antarabangsa Malaysia, kata pakar ekonomi.
Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4020/4065 berbanding dolar AS daripada 4.4000/4070 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata rizab antarabangsa Malaysia berkurang kepada AS$117.6 bilion pada 30 Okt, 2024, daripada AS$119.6 bilion yang direkodkan pada 15 Okt, 2024. (AS$1 = RM4.40)
Itu menunjukkan berlakunya aliran keluar dana, sekali gus menyebabkan ringgit menjadi lemah, katanya kepada Bernama.
Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, kedudukan rizab itu memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan dan adalah 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
Mengulas penyusutan ringgit, Mohd Afzanizam berkata berkemungkinan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati mengenai prospek pengurangan kadar faedah AS kerana ekonomi negara itu kekal kukuh sekali gus tidak memerlukan langkah pengurangan kadar faedah yang agresif.
Beliau berkata tumpuan serta-merta kini terarah kepada perkembangan selepas pilihan raya Presiden AS, terutama ulasan berkaitan hal ehwal dasar Presiden AS yang baru diundi, Donald Trump.
“Bagaimanapun, malam ini, tumpuan pasaran terarah kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS apabila jangkaan konsensus adalah pengurangan 25 mata asas ke atas kadar dana Fed.
“Oleh itu, ringgit dijangka kekal bergerak dalam julat kecil dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Pada penutupan dagangan, ringgit rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.6821/6879 daripada 5.6751/6841 ketika ditutup semalam, dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.8597/8629 daripada 2.8558/8606.
Unit tempatan rendah berbanding euro kepada 4.7317/7365 daripada 4.7313/7388.
Ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3178/3216 daripada 3.3073/3128 ketika ditutup semalam, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 279.6/280.0 daripada 277.8/278.4.
Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.50/7.51, dan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.8290/8492 daripada 12.8768/9048 semalam.– BERNAMA