KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bercadang mewujudkan pusat kecemerlangan untuk kanak-kanak 18 tahun dan ke bawah pada tahun depan.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata penubuhan pusat itu adalah penting bagi menyediakan platform untuk anak-anak muda mengembangkan bakat mereka hingga ke peringkat tertinggi.
“Dengan penubuhan pusat ini kelak, Sarawak akan mempunyai satu pusat khas yang berperanan mengetengahkan bakat dari usia muda hinggalah dewasa.
”Falfasah pendidikan kita menekankan iaitu untuk memperkembangkan bakat kanak-kanak sehingga ke tahap yang tinggi, namun kini setelah mereka masuk sekolah rendah, bakat itu tidak lagi dipupuk kerana platformnya tiada.
”Sehubungan itu, kita akan mulakan pada skala kecil terlebih dahulu bermula pada 2025 dengan mengenal pasti bakat yang hendak kita perkenalkan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pameran ‘Sarawak Preschool Kids Got Talent’ (SPKGT) Edisi ke-7 di sini, hari ini.
Menjelas lanjut Fatimah berkata pada masa ini, SeDidik sudah ada pusat kecemerlangan tetapi pihaknya berhasrat untuk membuatnya dalam skala lebih besar supaya ia lebih inklusif.
Sementara itu, mengulas berkenaan program SPKGT itu, beliau berkata selain menyediakan platform untuk mencungkil bakat anak-anak, ia juga membantu membangunkan mereka secara seimbang menerusi persaingan sihat.
”SPKGT ini dirancang selaras dengan transformasi pendidikan khususnya di Sarawak bagi melahirkan modal insan seimbang dan mempunyai kreativiti, inovasi serta berdaya saing.
”Ia merupakan acara tahunan di bawah kementerian kita dan diadakan sejak 2018 bagi mencungkil bakat dan potensi kanak-kanak enam tahun ke bawah,” katanya.
Difahamkan, seramai 1,681 kanak-kanak dari 50 prasekolah seluruh negeri menyertai program pencarian bakat cilik tersebut meliputi pelbagai kategori seperti nyanyian solo, pertandingan bercerita, tarian berkumpulan, pertandingan mewarna dan kategori khas bagi kanak-kanak istimewa.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti , Datu Felicia Tan Ya Hua serta Pengurus Besar SeDidik Sarawak Ayub Dahari.
Oleh RYNNA SHA’ERRA