ALEXANDRA LORNA
LUNDU: Daerah Lundu merupakan salah sebuah daerah yang berada dalam zon hijau, iaitu daerah yang mencatat sifar kes positif Covid-19 sehingga hari ini.
Tinjauan Utusan Sarawak semalam, didapati Pekan Lundu lengang daripada biasa dan penduduk turut patuh arahan untuk terus duduk di rumah.
Kebiasaanya, Pekan Lundu sentiasa sibuk dengan pergerakan penduduk
kampung membeli barang keperluan terutamanya di awal bulan sebegini. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penduduk akur dan kelihatan hanya kedai-kedai menjual barangan runcit sahaja yang meneruskan perniagaan mereka.
Terminal Bas Lundu juga tidak beroperasi seperti biasa kerana pengangkutan awam seperti bas awam turut dihentikan sementara waktu. Seorang penduduk Kampung Sebemban, Anatasia Geres, berkata, keadaan di sekitar Lundu dan Sematan masih terkawal.
“Penduduk di daerah ini juga mematuhi arahan pihak berkuasa dan diharap Lundu bebas dari Covid-19 sampai bila-bila. “Pesanan ringkas dari saya, elakkan berkumpul di tempat awam, sekiranya ke pasar raya atau bank serta elakkan diri dari berdekatan antara satu sama lain.
“Penutup mulut dan hidung dan cecair pembasmi kuman perlu sentiasa digunakan untuk menjaga Penduduk Lundu patuh arahan duduk di rumah kebersihan luaran. Untuk dalaman pula, jaangan lupa makan makanan yang bersih, berkhasiat dan jangan lupa pengambilan vitamin C untuk menguatkan imunisasi badan kita,” kata Anatasia.
Manakala, Daisy Rosjita dari Kampung Paon menasihati penduduk Daerah Lundu dan Sematan untuk terus mematuhi arahan PKP. “Sentiasa mengamalkan kebersihan diri dengan mencuci tangan dengan sabun, berjarak sosial dengan orang lain dan jika memakai penutup mulut dan sarung tangan, hendaklah beringat dengan membuangnyandi tempat yang betul.
“Jika ada sebarang simptom contohnya demam, batuk, sakit tekak, sesak nafas dan ada kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan. “Seseorang itu mestilah berlaku jujur dengan pihak kesihatan jika ditanya soalan,” katanya lagi.
Beliau turut berharap kawasan Lundu Sematan tetap bebas Covid-19 dan hal ini katanya, memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengekang penularan virus ini. Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah yang telah mengumumkan Daerah Lundu antara 26 daerah dalam kawasan hijau pada 1 April lalu.
Beliau mengumumkan hal tersebut agar masyarakat di daerah yang dikategorikan sebagai Zon Hijau supaya dapat mengekalkan status tersebut. “Sebab itu kita memperketatkan pergerakan dari daerah ke daerah. Kita mohon agar orang ramai janganlah balik ke kampung semasa PKP ini kerana ia akan menyebarkan virus ini di kampung.
“Pergerakan orang awam antara daerah hanya dibenarkan bagi kes-kes seperti menjalankan tugas rasmi Pekerja Perkhidmatan Penting (Essential Services), Kematian Ahli Keluarga Terdekat, Ahli Keluarga Sakit Tenat dan Keperluan Pemeriksaan Kesihatan,” katanya.