SARIKEI: Penjawat awam lelaki berumur 55 tahun di Daerah Sarikei membuat laporan polis semalam selepas menjadi mangsa kes penipuan pelaburan tidak wujud hingga mengalami kerugian sebanyak RM58,800.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, ASP Aswandy Anis berkata, pada penghujung Oktober 2024, semasa mangsa berada di rumah mangsa melayari laman Facebook dan tertarik dengan skim pelaburan atas nama Avatrade.
“Mangsa telah menghubungi suspek yang berperanan sebagai ejen pelaburan.
“Mangsa seterusnya telah diarahkan untuk menyertai grup pelaburan di aplikasi Telegram.
“Tertarik dengan tawaran serta pulangan yang dijanjikan, mangsa telah membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam beberapa akaun berbeza berjumlah RM58,800 bermula penghujung Oktober 2024 sehingga awal November 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aswandy berkata mangsa menyedari dirinya ditipu setelah pelaburan yang dibuat tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.
“Orang ramai dinasihatkan agar melabur di platform yang betul, yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta mendapatkan nasihat kewangan daripada ejen berdaftar.
“Jangan percaya dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan dalam masa singkat dan jangan masukkan wang ke dalam akaun yang tiada kaitan dengan pelaburan dibuat.
“Sentiasa membuat semakan syarikat dan laman sesawang yang tidak diberikan kelulusan atau kebenaran oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon suspek melalui ‘Check Scammer CCID atau melalui laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.